:: Salam Perjuangan ::

Friday, January 14, 2011

Bingkisan Mawaddah buat Murabithah :)

jalan ini masih panjang..teruslah melangkah tanpa gentar akan mehnah..insyaALLAH


Salam mawaddah terindah buat para mujahid kekasih Allah.


Apa khabar antum semua? 


Moga diberi kesihatan yang baik untuk terus meniupkan semboyan perjuangan menegakkan agamaNya di seluruh jajahan jahiliyyah dan di cerok rantau kefasadan.


Masuk minggu ini sudah dua minggu kuliah di maktab bermula. Alhamdulillah. Perjalanan tafaqquh kian mantap dengan penglibatan setiap peringkat. Majlis-majlis usrah kian merancakkan lagi perjalanan tarbiyyah dan thaqafah di Al-Ghazali. Alhamdulillahillazi bini’matihi tatimmu solihat.


Rindu saya pada minggu ini terubat dengan pertemuan bersama mujahid dan mujahidah kecil (adik-adik usrah) Murabithah yang saya sayangi. Entry kali ini saya bingkiskan khas untuk mereka.


Buat adik-adik usrah Murabithah yang akak sayangi,

Perjalanan da’wah kita masih panjang. Jalan juang ini tidak kan sunyi dari segala mehnah dan tribulasi.  Moga adik-adik iltizam dan terus istiqamah menghayati tarbiyyah. insyaAllah.


Adik-adikku,

Dalam kita berusrah, pertama sekali ta’aruf kita perlu dihadami. Mengenali sahabat dengan sebenar-benar kenal. 


“Sesungguhnya rendah-rendah ukhuwwah itu ialah berlapang dada (husnuzhon) dengan sahabat dan setinggi-tinggi tingkat ukhuwwah itu ialah ithar yakni melebihkan sahabat daripada diri sendiri.” 


Ayuh kembali menghayati sirah. Ithar sahabat-sahabat pasti mengundang kekaguman di hati. Tadhiyah mereka menterjemah peribadi. Taqiyyah mereka jauh sekali. Bait mereka adalah kalam Nabi. masyaAllah.


Mengapa di dalam Rukun Usrah sendiri diletakkan TA’ARUF sebagai rukun yang pertama? Kita selalu dengarkan, tak kenal maka tak cinta? Permulaan sesuatu hubungan itu mestilah disertai dengan ta’aruf kemudian barulah TAFAHUM (faham) dan TAKAFUL (saling menolong) .


Adakah ta'aruf itu cukup sekadar tahu nama sahabat,tempat tinggal,makanan kegemarannya? bukan itu semata adik-adikku.


Syeikh Muhammad Abduh di dalam bukunya Maza Ya’ni Intima' Lid-Dakwah menyatakan seperti berikut:

Pertama : Taaruf

Kewajipan-kewajipan dan tugas-tugas yang menjamin kejayaan peringkat ini ialah
  • Merasakan  makna ukhuwwah yang sebenar dan sempurna antara kamu.
  • Bersungguh-sungguh  agar tidak ada sesuatu pun yang mengeruhkan kemurnian ikatan kamu.
  • Selalu membaca dan meneladani ayat-ayat dan hadis-hadis. jadikan ia pusat perhatianmu – ‘berpegang teguhlah kamu dengan tali allah dan janganlah berpecah belah’ ( Ali Imran : 103) ‘ sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara’ ( Hujurat : 10)
Kedua : Tafahum
  • Istiqamah di atas manhaj kebenaran.
  • Laksanakan segala perintah Allah dan tinggalkan apa yang dilarangnya.
  • Evaluasilah (muhasabah) diri kamu dengan dengan teliti atas ketaatan dan kemaksiatan kamu.
  • Hendaklah salah seorang dari kamu memberi nasihat kepada saudaranya apabila melihat keaiban saudaranya.
  • Setiap akh menerima nasihat saudaranya denagn penuh gembira  dan sukacita.
  • Sahabat yang memberi nasihat  harus menjaga hatinya agar tidak berubah sedikit pun terhadap saudaranya yang dinasihati. Dia tidak boleh merendahkan kelemahan saudaranya atau merasakan dirinya lebih baik  dari saudaranya.
  • Hendaklah dia menyimpan rahsia kelemahan saudaranya selama sebulan dan tidak menyampaikan kepada sesiapa pun kecuali kepada ketua usrah (naqib) jika dia tidak mampu untuk memperbaikinya.
  • Dia berterusan mencintai, menghormati dan mengasihi saudaranya.
  • Saudara yang dinasihati tidak boleh berdegil atau keras kepala dan berubah hati kepada saudaranya yang memberi nasihati sekecil mana sekali pun.
Ketiga : Takaful
  • Sentiasa saling tolong menolong dan meringankan beban saudara kamu.
  • Berjanji untuk menunaikan tanggungjawab sesama kamu dengan  saling bertanya dan  melakukan kebaikan.
  • Proaktif untuk membantu saudaranya jika ada kesempatan.
  • Renungkan sabda Rasulullah SAW : “Seseorang yang berjalan untuk menunaikan hajat saudaranya lebih baik dari dia beriktikaf di masjidku selama sebulan..” 


Mujahid dan mujahidah kecilku,

Sekalipun kita baru sahaja bersama, tetapi jangka waktu yang singkat ini telah mengukir 1001 rasa antara kita. Moga segala penzahiran, pencerahan dan perkongsian sepanjang liqa’ dan rehlah kita bisa menjadi bekalan kecil buat adik-adik di alam kedewasaan nanti. moga ia bisa menjadi saksi bahawa ukhuwwah ini ditautkan semata-mata keranaNya. insyaAllah.


Hendaklah kita merasakan ‘Izzah dengan jalan yang kita pilih. Kerana apa? Kerana inilah jalan yang dipilih baginda SAW untuk menyebarkan da’wahnya. Bermula dengan USRAH di rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam yang ketika itu hanya 38 orang, Islam telah mensejahterakan hampir 2/3 dunia selepas itu. masyaAllah.


Di luar sana masih ada yang mengeluarkan kata-kata bahawa usrah ini untuk orang-orang yang tinggi maqamnya sahaja, usrah ini hanya untuk orang-orang yang berasa dirinya ‘alim malah tidak kurang juga melabelkan usrah ini tempat mengumpat bagi golongan yang merasakan mereka hebat. Allah.


Adik-adikku, 

Jangan kerana suara-suara kecil itu berbunyi, kita mudah berasa lemah dan lelah di jalan da’wah ini. Ia pastikan hilang dibawa angin lalu. Yang penting kita mesti punya himmah, adik-adik. Himmah yang menbuatkan jiwa kecil kita menjadi besar, azam kita membulat tekad untuk terus meninggikan kalimah Allah di bumi tempat kita berpijak ini. insyaAllah.


Akak nak bawa satu cerita sebagai suntikan semangat buat adik-adik Murabithah:


Suatu ketika Khalifah Umar berkata kepada sahabatnya: ” Impikanlah”. Seorang pemuda berkata:

” Aku mengimpikan jika sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah.”

Khalifah Umar berkata lagi: “Impikanlah”. Seorang pemuda berkata:

“Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah.”

Khalifah Umar berkata lagi: “Impikanlah”. Mereka berkata:

“Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin”

Khalifah Umar pun berkata:

“Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi RIJAL seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah”.



Allahu Akbar,adik-adik. Lihat sahaja apa yang diimpikan oleh Sayyidina Umar. Beliau mengimpikan para rijal yang akan membantunya meninggikan kalimah Allah. masyaAllah.


Rijal adalah harta paling bernilai untuk Deen ini. Rijal yang menyahut seruan da’wah dan melestarikan perjuangan memenangkan agama Allah. Rijal yang menjual dunianya untuk akhiratnya. Rijal yang menginfa’kan segala-galanya hanya untuk Allah dan RasulNya. masyaAllah.


Mujahid dan mujahidah kecilku,

Akak mengimpikan adik-adik juga begitu. insyaAllah kita akan bersama-sama menyusuri jalan juang ini. Jangan rasa keseorangan adik-adik. Jatuh bangun kita sentiasa dengan sokongan  dan dokongan sahabat seperjuangan. insyaAllah. Bagaimana untuk mempersiapkan diri sebagai rijalul da’wah ini? insyaAllah dengan pengisian melalui majlis-majlis ilmu, usrah dan sebagainya.


Di samping menyibukkan diri kita dengan kerja da’wah ini, jangan lupa ubudiyah kita padaNya. Bagaimana dengan solat jemaah kita? Puasa sunat kita? Dhuha kita? Tahajjud kita? Selawat kita? Zikir kita? Ibadah kita adalah sumber kekuatan kita.


Dalam kita berjuang, pergantungan pada Allah mesti kita letakkan di tempat paling tinggi. Kerana hanya Dialah yang tempat kita memohon bantuan dan pelindungan. insyaAllah. 


Innallaha ni'man maula wa ni'man nasir 


Ibadah kita harus seiiring dengan gerak kerja da’wah. Inilah sifat jundiyyah. Mempersiapkan diri untuk mentarbiyyah dan ditarbiyyah. Ruhiyyah kita perlu sentiasa hidup sebagai tenaga untuk jasadiyyah kita. insyaAllah. Moga Allah memberikan kita kekuatan untuk menghadapi segala macam ujian dan cabaran dalam susur da’wah ini. insyaAllah.


************************************************************************************************************** 


Perjalanan kita masih jauh adik-adikku. untuk mengecap manisnya berada di jalan da'wah ini, perjalanan ini harus diteruskan. jangan dikisahkan kemuncup-kemuncup yang cuba menghalang perjalanan. jangan dihiraukan debu-debu pasir yang merintangi pandangan.  yang kita mahu tuju adalah sinar di hujung jalan. tetapkan ambisi, teruskan menghadapi segala mehnah dan tribulasi. insyaAllah.


"Syaheed Cita-cita Tertinggi Kami"



 Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!



:: sebarkan da'wah, semarakkan ukhuwwah :: 

No comments: